Pelajar Kolej Maut Digilis Treler


MELAKA – Seorang pelajar perempuan Kolej Universiti Poly-Tech MARA (KPTM) Bangi, Selangor maut selepas digilis sebuah treler apabila motosikal ditungganginya terbabit kemalangan di Jalan Pokok Mangga di sini, hari ini.

Kemalangan pada jam 8.20 pagi itu menyebabkan mangsa, Nurul Asyikin Razali, 22, meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami cedera parah di bahagian kepala dan beberapa anggota badan.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri, Superintendan Hasan Basri Yahya, berkata mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Nouvo LC dalam perjalanan dari Plaza Pandan Malim menuju ke lampu isyarat Pokok Mangga. 




Katanya, sebaik tiba di tempat kejadian, motosikal mangsa bergesel dengan bahagian kiri treler terbabit menyebabkan motosikalnya hilang kawalan dan melanggar tong sampah di bahu jalan.

“Akibat pelanggaran itu, mangsa terjatuh dari motosikal lalu digilis lori treler berkenaan.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan akibat mengalami kecederaan parah di kepala,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
LihatTutupKomentar